Friday, September 17, 2010

ASAL USUL BANGSA BAJAU

Friday, September 17, 2010 0 ulasan

ASAL USUL BANGSA BAJAU- oleh BADAN GALAK PUSAKA (BGP) ~ Blog BAJAU SAMA ~

Thursday, 10. May 2007, 17:38:42

Lazimnya, apabila disebut Bajau, kita segera terbayang bahawa ia adalah suku bangsa yang mendiami kepulauan Filipina Selatan serta penduduk pribumi Sabah.

Sebenarnya Bajau bukan sekadar wujud di dua wilayah tersebut. Sebaliknya bangsa Bajau adalah antara penduduk asal Nusantara – dari kepulauan Belau (PALAU) di sebelah Timur hingga ke Sumatera di sebelah Barat dan dari Gugusan Kepulauan Irian di sebelah Selatan hingga ke Kemboja dan Myanmar (Burma) di Utara.

Ada pendapat mengatakan bahawa Bajau berasal dari Johor. Ada juga yang mengatakan Bajau berasal dari Kepulauan Riau-Lingga di Indonesia dan ada pula yang mengatakan etnik ini berasal dari kepulauan Maluku.

Hakikatnya, baik di Selatan Filipina, Borneo Utara, Johor, Riau-Lingga atau Maluku, kawasan-kawasan tersebut adalah dalam lingkungan Nusantara. Kajian awal oleh Badan Galak Pusaka (2000) mengenai asal-usul bangsa Bajau mendapati bahawa bangsa Bajau adalah generasi asli Melayu Deutro yang mula bergerak dari Yunan menuju arah selatan (Asia Tenggara) pada kira-kira 1500 tahun Sebelum Masehi iaitu 3500 tahun yang lalu, yang kemudian tersebar luas di seluruh kepulauan Melayu dan Lautan Pasifik1. Oleh kerana bangsa Bajau adalah generasi asli Melayu Deutro, maka mereka adalah Melayu tulen.

Bangsa Bajau atau Samah dapat dibahagikan kepada dua kelompok utama iaitu Pala’u (Bajau Laut) dan Samah (Bajau Darat). Sehingga tahun 1950-an, Pala’u tinggal di dalam lepa yang bergerak bebas di sekitar laut Sulawesi; mereka hanya mendarat di tepian pantai atau pesisiran sama ada di jajaran pulau atau tanah besar, untuk mendapatkan keperluan seperti ubi kayu, air atau untuk membaiki lepa mereka. Mereka juga bukan penganut agama Islam. Justeru itu, terdapat di kalangan orang-orang Samah yang tidak mengakui Pala’u sebagai Bajau oleh kerana kesuluruhan Samah adalah beragama Islam.

Daripada segi bahasa dan pertuturan, bahasa Bajau mempunyai lebih daripada 20 subdialek. Kajian awal oleh Badan Galak Pusaka menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya 26 subdialek bahasa Bajau.

Kini masyrakat Bajau terpencar-pencar di pelbagai negara seperti Indonesia, Filipina, Malaysia, Brunei, Myanmar, Maldives dan Afrika Selatan. Malah ada pendapat mengatakan bahawa masyarakat Melayu di Madagascar (Pulau Malagasi) sebenarnya adalah dari etnik Bajau.

Mayarakat Bajau dikenali sebagai sea nomad atau sea gypsies oleh penjajah atau penulis-penulis Barat dan nama itu kekal menjadi rujukan pihak-pihak tertentu hingga ke hari ini. Bagi masyarakat Bajau itu sendiri mereka menamakan bangsa mereka sebagai bangsa Samah dan daripada perkataan Samah itulah terbit nama bahasa mereka iaitu Sinamah.

Bagaimana bangsa ini mendapat namanya sebagai Bajau, ia masih kabur. Kekaburan ini menyebabkan perbahasan di kalangan segelintir individu sehingga ada antara mereka yang membuat pengklasifikasian mengikut logik masing-masing – kononnya Bajau adalah yang menjadi peribumi Sabah, Badjao adalah yang mendiami gugusan kepulauan Mindanao, dan Badjoe adalah yang mendiami wilayah Indonesia.

Hakikatnya, Bajau hanyalah satu. Lalu kenapa timbul pelbagai nama seperti Bajau, Badjao dan Badjoe? Jawapannya mudah. Ia adalah disebabkan faktor penggunaan tulisan rumi dalam Tamadun Melayu baik di Malaysia mahupun di Indonesia dan Filipina. Ketiga-tiga wilayah ini pernah dijajah oleh tiga bangsa penjajah dari Barat. Ketiga-tiga bangsa penjajah ini menggunakan huruf Rumi dalam sistem tulisan mereka. Kedatangan mereka turut memperkenalkan sistem tulisan Rumi kepada Tamadun Melayu tetapi dalam bentuk dan sistem ejaan yang berbeza-beza. Bahkan, sistem tulisan Rumi Bahasa Malaysia dan Sistem Tulisan Rumi Bahasa Indonesia hanya dapat dimantapkan pada 1970-an, walaupun Sistem Tulisan Bahasa Malaysia masih mengalami proses penambahmantapan akibat peminjaman perkataan asing khususnya dari Bahasia Inggeris.


KILAHUNBIH BANGSAHBIH
TABANGUN KAMIH NABANG BANGSAHTAH

--------------

1Sejarah Ringkas Bahasa Melayu dalam Nik Safiah Karim et.al (2002): Tatabaha Dewan, Kuala Lumpur: DBP

Dirujuk dan disunting daripada :BADAN GALAK PUSAKA ~ Blog BAJAU SAMA ~
http://my.opera.com/BGP/blog/show.dml/993961

Sambungan....

Badan Galak Pusaka, BGP # 17. August 2008, 03:46

Seperti yang dapat difahami, kehidupan tradisional bangsa Bajau adalah mencari rezeki di permukaan bumi nan luas ini khususnya di kawasan Asia Tenggara, baik di laut mahu pun di darat.

Meskipun masyarakat bangsa Bajau amat mementingkan keutuhan dan pembangunan keluarga serta penguasaan le'od (pusat petempatan yang mereka dirikan) tetapi tidak wujud dalam pemikiran mereka untuk membina atau mewujudkan sebuah negara. Sudah tentulah ini berkait rapat dengan tahap pemikiran mereka yang masih pagan (belum mengenal erti peradaban atau tamadun) itu. Hal yang sama berlaku juga kepada bangsa-bangsa lain seperti Iban, Murut, Melanau, Dayak, Negrito, Ta'usug (orang Suluk), Ilocano, Timor dan suku-suku bangsa lain yang mendiami kawasan pergunungan di Asia Tengara termasuk Maori di Australia dan New Zealand. Yang penting bagi suku-suku bangsa ini ialah keharmonian dan kesejahteraan dalam suku kaum dan le'od.

Walau bagaimanapun, bangsa Bajau yang mendiami gugusan pulau-pulau di sekitar Mindanao, berserta suku-suku bangsa lain khususnya Ta'usug telah membentuk negara mereka sendiri setelah diislamkan dan mengangkat 'orang asing' juga untuk menjadi ketua negara atau Sultan mereka. Itulah negara dan Kesultanan Sulu dengan sultan pertamanya Orang Arab yang bertanggungjawab mengislamkan masyarakat pagan khususnya Ta'usug (Suluk) dan Bajau di dalam lingkungan Kerajaan Sulu itu.

Setelah beberapa abad negara dan Kesultanan Sulu ini wujud, maka bangsa Bajau berserta suku-suku bangsa lain khusus Dusun, Murut dan peribumi lain di Borneo Utara turut menjadi rakyat kepada Kerajaan Sulu apabila sebahagian daripada Wilayah Borneo Utara ini diberikan kepada Sultan Sulu oleh Sultan Brunei. Maka dengan itu, negara orang-orang Bajau di North Borneo juga adalah negara Sulu. Keadaan ini berkekalan sehinggalah pada 1963 apabila North Borneo diisytiharkan menjadi Sabah untuk membolehkan Malaysia dibentuk, maka negara orang-orang Bajau, Dusun, Murut dan peribumi lain di Borneo Utara itu beralih kepada sebuah negara baru iaitu Malaysia.

Keistimewaan suku bangsa Bajau dan perbezaannya dengan suku-suku bangsa yang lain itu ialah masayarat Bajau tidak menumpu di satu-satu kawasan geografi. Bahkan suku bangsa ini terpencar-pencar di seluruh Nusantara. Ini sudah tentu berkait langsung dengan faktor kepakaran dan kemahiran mereka menguasai lautan; atau kepakaran mereka menguasai jalan-jalan laut dan lautan ini membolehkan mereka bergerak dan menetap di mana sahaja mereka sukai.

Justeru itu, apabila daerah luas Nusantara itu dibahagi-bahagikan menjadi beberapa negara oleh penjajah, suku bangsa Bajau menjadi rakyat atau wujud di semua negara-negara tersebut. Hal sedemikian tidak berlaku kepada suku-suku bangsa lain seperti Dusun, Momogun, Murut, Ilocano, Maori dan lain-lain itu kerana mereka menempati satu ruang geografi yang lebih sempit.

Seperti yang telah disentuh di atas, dalam menjalani kehidupan seharian dan mengekalkan keharmonian le'od, suku bangsa Bajau terlibat sama ada secara langsung atau tidak, dalam pembentukan kerajaan-kerajaan Melayu tradisional termasuklah kerajaan Melayu Islam yang paling baharu (berbanding kerajaan-kerajaan Melayu Islam yang lain), iaitu Kerajaan Kesultanan Sulu. Di Borneo, suku bangsa Bajau terlibat secara langsung dalam pewujudan dan pentadbiran Borneo Utara sama ada di bawah pemerintahan Kerajaan Kesultanan Sulu atau di bawah pentadbiran penjajah, manakala di Malaysia suku bangsa Bajau terlibat secara langsung dalam pewujudan dan pentadbiran kerajaan negeri Sabah dan pembentukan Malaysia.

Jadi di manakah negara Bajau itu terletak? Seandainya suku bangsa Bajau hanya wujud dan mendiami kuala sungai Kinabatangan sahaja, tentulah ramai beranggapan negara orang Bajau itu Malaysia atau negeri orang Bajau itu Sabah apabila negara Malaysia atau negeri Sabah terbentuk atau dibentuk (diwujudkan). Atau sekiranya suku bangsa Bajau itu hanya wujud dan mendiami Balik Papan, atau Mindanao, tentulah umum menganggap negara orang Bajau itu Indonesia atau Filipina setelah negara-negara tersebut terbentuk (diwujudkan). Demikianlah sekiranya suku bangsa Bajau itu hanya ditemui di Bandar Seri Begawan, tentulah para pengkaji menuliskan bahawa negara orang Bajau itu Brunei Darus Salam.

Kesimpulannya, suku bangsa Bajau bernegara di negara-negara Melayu di Nusantara atau, negara orang Bajau adalah negara-negara Melayu Nusantara.

Negara bangsa Cina itu di mana? Negara bangsa Arab itu di mana? Negara bangsa India itu di mana? Negara bangsa Bugis itu di mana? Negara bangsa Iban itu di mana? Negara masyarakat Dusun itu di mana? Negara orang Sakai itu di mana? Negara orang Jawa itu di mana? Negara orang Negro (bangsa kulit hitam) itu di mana?

Dirujuk dan disunting daripada :BADAN GALAK PUSAKA ~ Blog BAJAU SAMA ~
http://my.opera.com/BGP/blog/show.dml/993961

Posted in

0 ulasan:

Post a Comment

Pages

Followers